Kalau orang lain berjaya, kita juga harus berjaya. Kalau orang lain tegak dalam bidang hidupnya, kita juga punya hidup sendiri, untuk kita turut tegak dan berjaya seperti mereka

Friday, December 4, 2015

Tempat Makan Best Di Melaka

Pada musim cuti sekolah ini, pastinya ramai yang akan membawa keluarga bercuti ke Melaka Bandaraya Bersejarah dan anda pastinya tercari-cari apakah tempat makan best yang ada di Melaka. Iyalah, setelah penat meneroka keunikan Melaka, perut juga harus diisi bukan?

Jadi, kali ini saya akan berkongsikan tentang tempat makan best yang ada di Melaka dimana tempat-tempat ini semuanya pernah kami kunjungi sebelum ini. Jika sudah berkunjung maka bolehlah memberi komen..

Tempat Makan Best Di Melaka| Roti Canai Kayu Arang

Baiklah, saya mulakan dengan tempat makan best di Melaka pada waktu pagi iaitu waktu anda mencari sarapan. Pada saya, Roti Canai Kayu Arang adalah pilihan yang terbaik. 

Sememangnya kedai makan Roti Canai Kayu Arang ini sangat unik kerana menggoreng roti canai menggunakan kayu arang, bukannya dapur gas seperti kebiasaannya. Yang paling penting, roti canainya sedap!

Lokasi: Lot N/T 461, Jalan Malim-Bachang, Melaka
Waktu Operasi: 6.30 pagi hingga 12 tengahari

Peringatan: Gerai ini sentiasa penuh dengan pelanggan. Harap sabar menunggu

Lebih cerita dan gambar mengenai Roti Canai Kayu Arang boleh baca pengalaman makan kami DISINI: Coretan Roti Canai Kayu Arang



Tempat Makan Best Di Melaka| Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil

Pada waktu petang ketika melawat Melaka, anda pastinya akan tercari-cari juga dimanalah agaknya tempat makan best di Melaka ketika waktu minum petang. Bagi saya ada 3 tempat yang sangat-sangat best dan patut anda cuba dan salah satu daripadanya ialah Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil.

Memang sedap teramat! Setiap kali saya buat post pasal kuih keria ni, saya mesti rasa macam nak pergi Melaka sekarang juga. Bayangkan, saya yang tak suka keria ni pun boleh bertambah banyak kali!

Lokasi:Terletak di jalan utama Klebang Besar - Limbongan Melaka, betul-betul bersebelahan dengan Masjid Al-Ehsan
Waktu Operasi: 2.00 petang hingga 7.00 malam

Lebih cerita dan gambar mengenai Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil boleh baca pengalaman kami mencari kedai ini sehingga tersesat dan berjumpa kuih keria antarabangsa yang lain (guna jenama Hj Jalil sahaja). Baca kisah kami DISINI.




Tempat Makan Best Di Melaka| Perhentian Kuih Kampong

Tempat makan best di Melaka yang kedua saya sarankan selepas Kuih Keria Antarabangsa ialah Perhentian Kuih Kampong. Ya, nama kedai tu Perhentian Kuih Kampong. Pelbagai jenis kuih muih tradisional Melayu ada dijual di sini dan kuih-kuihnya juga sedap. Betul!

Selain kuih muih, ada juga makanan lain dijual tetapi kuih-muih disini adalah daya tarikan utama pengunjung datang ke sini.

Mana tidaknya, deretan kuih bersusun dari sebelah kiri kedai hinggalah ke sebelah kanan kedai. Tetapi tidaklah terlalu panjang sehingga mengambil keseluruhan ruang kedai!

Lokasi: Terletak di Jalan Ujung Pasir yang menghala ke Bandar Melaka dan bersebelahan dengan Hotel Arenna De Luxe dan Harmony Apartment. Berdekatan juga dengan Balai Polis.
Waktu Operasi: Sarapan pagi hingga minum petang. (Waktu malam tak pasti buka ke tak)

Lebih cerita dan gambar mengenai Perhentian Kuih Kampong boleh baca pengalaman kami DISINI




Tempat Makan Best Di Melaka| Coconut Shake

Salah satu makanan yang best di Melaka ialah Coconut Shake. Dimana-mana anda pergi pasti akan mudah berjumpa dengan gerai yang menjual Coconut Shake. Kami pernah cuba Coconut Shake yang sedap sampai ramai yang sanggup beratur untuk mendapatkannya. 

Lokasi: Betul-betul Di Tepi Jalan hadapan Taman Cergas Batu Berendam Melaka
Waktu Operasi: Tidak pasti tetapi saya pergi dalam pukul 12.30 tengahari hingga 3 petang masih beroperasi

Cerita lanjut dan pelbagai gambar boleh baca DISINI





Tempat Makan Best Di Melaka| Nasi Gunting

Anda boleh bayangkan bagaimana rupanya jika nasi digunting? Saya sendiri tidak dapat membayangkannya sehinggalah mencubanya sendiri. Memang benar digunting, tetapi bukanlah nasinya yang digunting.

Lokasi: Terletak di hadapan pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Banda Kaba, Melaka
Waktu Operasi: 8.00 hingga 11.00 malam. Sebelah pagi beroperasi di Pasar Melaka

Cerita lanjut dan pelbagai gambar boleh baca DISINI





Tempat Makan Best Di Melaka| Air Kelapa Lambung Snow Ball

Anda ingin rasa keaslian air kelapa yang sangat enak dan unik? Cubalah air kelapa lambung atau Snow Ball yang dikeluarkan dengan sangat teliti dan profesional. Hanya pakar sahaja mampu melakukan aksi sebegini tanpa cacat cela!

Lokasi: Jeti Melaka River Park & Cruise (Gerai Fatimah Produk)
Waktu Operasi: Tidak pasti (kami pergi di sebelah malam)


Cerita lanjut dan pelbagai aksi melambung buah kelapa boleh baca DISINI


Sekian entri saya kali ini mengenai tempat makan best di Melaka. Saya ada cerita tentang tempat makan best di Melaka ketika sarapan pagi, minum petangdan makan malam tetapi tiada maklumat yang boleh saya berikan untuk tempat makan best di Melaka ketika makan tengahari. Emm...masa pergi Melaka tempoh hari, kitaorang makan apa waktu tengahari ya?


Tak ingat. Haha. Takpelah..

Mungkin anda juga boleh merujuk Pilihan Jalan-jalan Cari Makan -->DISINI untuk mengetahui  maklumat tentang tempat makan best di Melaka yang mereka pernah cuba pula.

No comments:

Post a Comment

© Copyright 2014 Reserved to Khairunnisa l Design by DayangDeno