Kalau orang lain berjaya, kita juga harus berjaya. Kalau orang lain tegak dalam bidang hidupnya, kita juga punya hidup sendiri, untuk kita turut tegak dan berjaya seperti mereka

Tuesday, September 6, 2016

Roland Si Anak Orang Asli dan Siput Gondang

Ayah saya seorang guru dan 4 tahun lepas dia ditukarkan untuk mengajar anak-anak orang asli di Punan, sebuah sekolah di kawasan pedalaman Kahang. Balik bercuti baru-baru ini, ayah bawa seorang anak murid orang asli untuk keluar dari kawasan pedalaman tersebut supaya dia dapat melihat dan mendapat pengalaman baru di dunia luar.

Nama budak ini Roland, berumur 9 tahun. Ayah bawa Roland tengok wayang, naik escalator. "Saya takut sangat naik tangga bergerak tu, kata Roland. Tergelak kami dengar dia bercerita.

Bersama Damia, Roland bermain badminton

Seronok dia main badminton, melayan Damia yang baru belajar nak sambut dan pukul bulu tangkis. 

Rumah saya terletak dalam kawasan kampung. Memang sekeliling kawasan rumah dipenuhi dengan pokok buah-buahan dan ulam-ulam. Di tepi kawasan rumah pula terdapat parit yang agak besar dan dibina di kawasan rumah kami supaya dapat mengelakkan banjir di kawasan taman berdekatan.

Jika diingat kembali, seronok bermain sewaktu kecil di atas padang yang luas di hadapan rumah sebelum pembinaan parit tersebut. Kehadiran parit tersebut juga telah menyekat laluan utama masuk ke rumah kami. Lalu laluan alternatif dibina di bahagian belakang.

Rupa-rupanya tanpa kami sedari, parit itu jugalah yang menarik perhatian Roland. Agaknya dia sudah terbiasa dengan alam semulajadi di kawasan pedalaman. Sedar-sedar Roland telah berada di kawasan parit sambil matanya lingas memerhati sesuatu. "Siput itu boleh makan!"jerit Roland sambil tangannya menuding kepada siput-siput yang terdapat di dalam parit.

"Betul ke Roland?, tanya Cik Lan.

"Betul, rumah saya selalu makan siput ni," jawab Roland dengan sangat yakin.

Ayah saya memberikan Roland tangga dan dengan pantas dia menuruni tangga dan berada di dalam parit sambil tangannya pantas mengutip siput-siput tersebut.

Selama kami tinggal di sini, tidak tahu pula ada siput yang banyak dalam parit.

Sekali Roland bawa naik, ambik kau. Rasanya buat jual pun boleh ni. Haha

Disebabkan kami tidak pernah perasan akan kehadiran siput ini, maka berdirilah kami di tebing parit memerhati gelagat Si Roland. Nenek saya di dalam rumah pun turut keluar melihat Roland menangkap siput.

Inilah dia siput yang dikatakan boleh dimakan oleh Roland


 Proses pengasingan siput

Damia yang geli-geli pun cuba pegang siput dan tolong Roland memasukkannya ke dalam bekas

 Proses membasuh siput

Disebabkan Roland kata boleh masak, ayah pun offer rebuskan siput untuk dia. 

Siput yang siap direbus bersama daun kunyit

Siput yang telah siap dimasak

 Cik Lan tolong keluarkan isi siput untuk Roland

Roland menunjukkan cara-cara memakan siput.

"Bahagian hitam di bawah tidak boleh makan. Itu perut dia," kata Roland.

"Kalau makan jadi apa? tanya Cik Lan dengan nada meniru slang Roland.

"Ya pahit," balas Roland.

Oooo. Asyik kami melihat Roland bersungguh-sungguh menikmati siput. Nenek pula hulurkan sambal kicap. Lagi laju dia mencicah siput dengan sambal kicap.

Seronok juga sekali sekala jumpa "orang pelik" ni. Hehe. Bukan pelik apa, yelah benda yang kita tak terfikir boleh makan, dia tahu benda tu boleh makan dan takkan sakit kalau makan. Patutlah diaorang boleh survive duduk dalam hutan. Rupa-rupanya banyak sumber makanan.

Tak lama lepas Roland balik, Cik Lan Google nama siput yang dikatakan boleh dimakan oleh Roland tu. Rupa-rupanya siput tu namanya siput gondang dan pernah mendapat liputan akhbar Sinar Harian akan khasiatnya untuk merawat penyakit buasir. Boleh baca liputan akhbar tersebut DISINI.

Bertambah lagi pengalaman dan pengetahuan kami. Belajar dari siapa? Roland, Si Anak Orang Asli. Sekian.
© Copyright 2014 Reserved to Khairunnisa l Design by DayangDeno