Kalau orang lain berjaya, kita juga harus berjaya. Kalau orang lain tegak dalam bidang hidupnya, kita juga punya hidup sendiri, untuk kita turut tegak dan berjaya seperti mereka

Wednesday, September 14, 2016

Pengalaman di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam

Sepanjang 5 tahun bermastautin di Shah Alam, saya tidak pernah menjejakkan kaki di Perpustakaan Shah Alam padahal perpustakaanlah tempat saya "melepak" masa waktu belajar di UPM dahulu. Memang dari kecil Mak Long rajin bawa saya ke perpustakaan, jadi saya memang suka belajar atau membaca di perpustakaan berbanding mengulangkaji di bilik.

Bahagian Kanak-Kanak Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam

Budaya membaca perlu dipupuk dari kecil, jangan terlalu memanjakan anak dengan telefon pintar dan tab yang serba canggih. Bukan tidak boleh diperkenalkan tetapi perlu dihadkan supaya kanak-kanak tidak ketagih dan tidak keruan pabila tiada gadget di tangan.


Disebabkan itu, saya rasa saya patut dedahkan Damia tentang kewujudan perpustakaan. Dia perlu tahu fungsi perpustakaaan dan seronok untuk membaca, itu lebih penting. Dua minggu lepas, sewaktu Cik Lan sibuk di makmal menyiapkan eksperimen PhD pada hujung minggu, saya bawa Damia ke Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.

Alamat Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam:

Jalan Kelab Golf 13/6, Seksyen 13, 40100 Shah Alam

(P/s: Pembinaan tempat meletak kenderaan bertingkat bagi Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam baru sahaja bermula pada Januari 2016 dan masih lagi giat dalam pembinaan. Bagi memudahkan pengunjung, tempat letak kenderaan sementara telah ditetapkan tetapi agak jauh untuk berjalan kaki ke perpustakaan dari situ. Justeru, pihak perpustakaan telah menyediakan perkhidmatan buggy bagi kemudahan pengunjung)


Bukan calang-calang perpustakaan. Terdapat replika pokok besar yang dibina di dalam zon membaca kanak-kanak untuk menarik minat membaca secara santai.

Ibu bapa dibenarkan untuk menemani anak masing-masing di Zon Kanak-Kanak, tetapi kanak-kanak tidak dibenarkan naik ke bahagian remaja dan dewasa di tingkat atas.

Sebelum masuk, beg disediakan di bahagian hadapan untuk penyimpanan kasut dan beg tersebut perlu dipegang sendiri sepanjang berada di dalam perpustakaan.

Pelbagai pilihan bahan bacaan terdapat di sini, ada yang boleh dipinjam dan ada juga yang hanya dibenarkan untuk membaca di dalam perpustakaan

Turut disediakan ruangan IT untuk kanak-kanak melayari internet. Perkhidmatan ini dikenakan bayaran tambahan. Sila rujuk laman web Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam untuk maklumat lanjut--www.ppas.gov.my

Bersemangat Damia membaca buku sekuat hati. Zon kanak-kanak tersangat bising ketika ini kerana terdapat lawatan pelajar sekolah dari luar dan kanak-kanak ada yang berkejaran dan bermain di perpustakaan terutamanya di bawah pokok

Saya sempat mendaftar untuk peminjaman buku. Satu nama boleh meminjam maksimum 10 buah buku dan perlu dipulangkan dalam tempoh 3 minggu. Sekiranya lewat, denda sebanyak RM 0.20 akan dikenakan bagi setiap buku dan hari yang terlewat.

Damia pinjam 8 buah buku, saya pula tidak berkesempatan ke bahagian dewasa kerana Damia tidak dibenarkan naik ke bahagian tersebut dan saya juga tidak berani meninggalkannya bersendirian di bahagian kanak-kanak.

Sekian kisah hujung minggu kami di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.
© Copyright 2014 Reserved to Khairunnisa l Design by DayangDeno