Setiap perkara yang kita lakukan mestilah mempunyai impian dan matlamat yang besar. Namun itu tidak bererti kita mesti melakukan sesuatu perkara yang benar-benar besar untuk mendapatkannya.
Kadangkala dan seringkali berlaku ialah tindakan-tindakan kita yang kecil itu rupa-rupanya membantu ke arah pencapaian matlamat yang besar itu tadi.
Saya mengenali seorang ibu di alam maya yang mempunyai matlamat yang besar untuk kehidupan anak-anaknya. Bukan sahaja matlamat itu berfokus kepada kejayaan di dunia, malah ibu ini juga mengejar akhirat yang lebih hakiki.
Pelbagai usaha dilakukan untuk mengejar matlamat tersebut. Bermula dengan menyekolahkan anak-anaknya di rumah (home schooling) sehinggalah melatih anak-anaknya dengan kemahiran-kemahiran yang biasanya hanya dimiliki oleh orang dewasa.
Anak-anaknya pada usia seawal 3 tahun sudah menghafaz 30 surah terakhir Al-Quran dengan lancar sekali. Bukan itu sahaja, ibu ini juga turut menghantar anak-anaknya mempelajari ilmu renang, menunggang kuda, bermain golf, ilmu programming, mental aritmetik dan sebagainya.
Menurut beliau, dalam seminggu, masa yang diperuntukkan untuk anak-anak ini belajar semua kemahiran-kemahiran ini hanya satu atau 2 jam sahaja. Tetapi dilakukan secara konsisten, tanpa pernah tertinggal sekalipun. Beliau amat menitikberatkan disiplin yang tinggi dalam diri anak-anaknya.
Benarlah kata-kata bahawa kita perlu melakukan tindakan-tindakan yang kecil untuk memungkinkan kita mencapai sebuah impian yang besar. Yang paling penting ialah bermula dari sekarang!
No comments:
Post a Comment