Kalau orang lain berjaya, kita juga harus berjaya. Kalau orang lain tegak dalam bidang hidupnya, kita juga punya hidup sendiri, untuk kita turut tegak dan berjaya seperti mereka

Thursday, June 8, 2017

Tempat Menarik Cuti Sekolah|Pusat Konservasi Penyu, Pasir Panjang Segari, Perak

Sebelum ini kami pernah ke Pusat Konservasi Gajah di Lancang, Pahang. Memang seronok berjinak-jinak dengan gajah. Boleh baca kisah kami di Pusat Konservasi Gajah DI SINIJusteru, idea untuk ke Pusat Konservasi Penyu memang disokong seratus peratus untuk proses pembelajaran kepada anak-anak seperti Damia tentang haiwan.

Damia memang excited nak tengok penyu kali ni walaupun dia sebenarnya agak penakut. Suka tengok tapi nak sentuh dia takut. Macam mama la jugak..haha

Lokasi Pusat Konservasi Penyu


Terdapat beberapa pusat konservasi penyu di Malaysia. Kami berkesempatan untuk ke Pusat Konservasi Penyu, di Pasir Panjang, Segari, Perak

Pusat Konservasi Penyu Segari agak tersorok dari jalan utama dan perlu melalui kawasan kelapa sawit lebih kurang 2km dari jalan utama.

Ianya terletak di belakang bangunan Baitul Hilal, pusat pencerapan anak bulan di Perak.

Pintu hadapan Pusat Konservasi Penyu Segari

Waktu lawatan:

Isnin- Ahad: 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari (Sesi 1)

2.00 petang- 5.00 petang (Sesi 2)

Sesi 2 untuk hari Jumaat bermula jam 2.30 petang

Aktiviti di Pusat Konservasi Penyu Segari

Terdapat beberapa tempat yang boleh dilawati di Pusat Konservasi Penyu Segari. Antaranya ialah kolam penyu dewasa, tapak penetasan telur penyu dan kolam pengasingan anak penyu.

Jika dilihat dari gambar di atas, kolam penyu dewasa bertanda No 4, kolam pengasingan anak penyu bertanda No.5 dan tapak penetasan bertanda No.7

1) Kolam Penyu Dewasa

Terdapat dua kolam besar utama di perkarangan pusat ini untuk tontonan umum. Setiap kolam ini menempatkan penyu dewasa.

Penyu-penyu karah dewasa 

Leka memerhatikan penyu-penyu ini berenang dan berkejaran sesama sendiri

Tercapai juga hasrat Kak Damia nak tengok penyu. Adik Daniel sedap tidur dalam stroller

Ucu Wan n Lin pun excited juga tengok penyu

Penyu berlumba-lumba mengejar makanan yang ditaburkan. Cantik kan corak di cangkerang penyu..

Damia dan Ucu Wan sempat menemuramah staf pusat konservasi penyu di sini. Pak Cik (lupa nak ambil nama dia. Kitaorang hanya panggil pak cik je sepanjang sesi penerangan di sini) telah memberikan layanan dan penerangan yang bagus tentang penyu kepada kami sepanjang lawatan di sini.

Menurutnya, penyu di sekitar kawasan ini hanya terdiri dari jenis karah. Manakala di Rantau Abang, Terengganu hanya terdiri dari penyu belimbing dan di Pengkalan Balak, Melaka hanya terdiri dari penyu lipas. 

Menurut pak cik juga, istimewanya sifat penyu ini ialah mereka tahu tempat pendaratan masing-masing untuk bertelur. Setelah merantau jauh mengelilingi dunia, mereka akan kembali semula ke tempat pendaratan untuk bertelur.

2)Tapak Penetasan Telur Penyu


Ini pula ialah tapak penetasan telur penyu

 Penerangan tentang proses penetasan telur penyu


3)Kolam Pengasingan Anak Penyu



Menurut Pak Cik (staff perikanan), kolam pengasingan ini tidak boleh dilawati oleh pengunjung kerana kebiasaannya pengunjung akan mengambil masa yang lama di sini disebabkan leka memerhatikan anak-anak penyu.

Namun rezeki kami pada hari tersebut, Pak Cik memberikan kebenaran untuk kami memasuki kolam pengasingan tersebut memandangkan tidak ramai pelawat ketika itu.



Setiap kolam pengasingan di sini menempatkan penyu mengikut umur dari tarikh penetasannya. Terdapat pelbagai saiz penyu dari yang kecil hingga ke sederhana besar.

Penyu yang matang atau dewasa akan di tempatkan di kolam utama di bahagian luar untuk tontonan awam. Penyu dewasa ini akan ditempatkan di kolam tersebut buat sementara waktu sebelum dilepaskan ke laut.


"Pak cik, penyu ni boleh pegang tak? Kalau kita pegang, dia gigit tak?" tanya Cik Lan tiba-tiba.

"Penyu tidak menggigit walau sebesar manapun saiznya. Ia tidak seperti kura-kura yang menggigit" jawab pakcik dengan yakin.

Setelah diberikan keizinan untuk memegang Si Penyu, Cik Lan  dengan berani menggunakan peluang tersebut untuk mengangkat penyu yang bersaiz kecil sehinggalah sederhana besar.


Iwan, Lin dan Damia pula hanya menyentuh badan penyu tersebut. Geli!!!


Cik Lan biasalah, dia memang akan paksa kita pegang kalau pergi tempat yang ada binatang. Bukan setakat tengok je. Bila dah ada peluang untuk pegang, memang dia akan paksa kita semua untuk pegang. 

Sebab tu Damia awal-awal dah "warning" ayah dia: "Ayah jangan bagi Mia pegang ea, Mia kecil lagi tau". Haha...


Tempat yang menarik untuk bawa anak-anak melawat ketika cuti sekolah. Sekurang-kurangnya mereka belajar sesuatu sambil makan angin. Real life experience yang tidak akan dapat sekadar membaca buku dan menonton video semata-mata.
© Copyright 2014 Reserved to Khairunnisa l Design by DayangDeno